Pemilik Kedah Darul Aman FC Ucap Terima Kasih Kepada MB Kedah
October 17, 2024 Hafizuddin Omar

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar selaku pemilik majoriti Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) tampil mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

Ucapan tersebut dilontarkan oleh Dr. Mohd Daud atas keprihatinan serta simpati yang diluahkan oleh Sanusi selain sedia mempertimbangkan kaedah meringankan masalah yang telah dan sedang dihadapi – kemelut kewangan – oleh skuad berjulukan Sang Kenari pada ketika ini.

“Pihak pengurusan KDA FC amatlah berbesar hati serta menyambut baik hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah tersebut untuk membincangkan segala kesulitan yang dihadapi KDA FC.” katanya seperti kenyataan media yang disiarkan oleh pihak kelab pada Rabu.

Tambah Dr. Mohd Daud lagi, KDA FC telah mengadakan beberapa siri rundingan bersama pihak pejabat Menteri Besar Kedah serta rundingan lanjut berhubung permasalahan kewangan yang dihadapi.

Pada Selasa lalu, media melaporkan Sanusi sedia mempertimbangkan kaedah untuk membantu KDA FC menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA).

Selain itu, beliau yang juga merupakan Presiden KFA juga bersedia untuk bertemu pemain-pemain bagi mendengar masalah mereka secara berdepan.

Sebelum ini, kemelut kewangan yang melanda KDA FC menyaksikan pemain-pemain yang mengalami tunggakan gaji telah bertindak memboikot sesi latihan serta tidak beraksi dalam perlawanan liga. Tindakan itu memaksa ketua jurulatih, Nafuzi Zain menurunkan pemain-pemain skuad pelapis bagi meneruskan kempen liga musim ini.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen