Kejohanan dodgeball edisi sulung, Turo Thunder Throw 2024 yang diadakan dengan objektif untuk mempromosikan sukan berkenaan kepada rakyat Malaysia menyaksikan gelaran juara menjadi milik Blitz Steroids.
Pasukan tersebut mengesahkan kejuaraan selepas menumpaskan Aces 5-4 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara, pada Ahad.
Perlawanan akhir tersebut menjadi ujian terbesar di kejohanan ini dengan terpaksa bertungkus lumus mempamerkan persembahan terbaik bagi menumpaskan Aces pada perlawanan akhir tersebut.
“Seronok dapat bermain di pusat membeli-belah yang terkenal ini, penyokong sentiasa memberikan kata-kata semangat.”
“Bagaimanapun, ada masa membuatkan pemain menjadi gementar dan tertekan. Saya gembira mereka menguatkan mental dan mengejar ketika ketinggalan 0-2,” kata ketua pasukan Blitz Steroids, Lee Kar Wai selepas pasukannya mengesahkan kejuaraan.
Pada masa yang sama, Kar Wai, kelahiran Kuala Lumpur, menganggap penganjuran kejohanan dodgeball di pusat membeli-belah dapat memberikan pendedahan dan mendekatkan masyarakat dengan sukan ini.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Anak Malaya 1 yang menumpaskan Blitz Austistic juga dengan keputusan 5-4 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.
Selaku juara, Blitz Steroids meraih hadiah berupa wang tunai bernilai RM3,500 dan pingat. Manakala naib juara, Ace serta pemenang tempat ketiga, Anak Malaya 1 membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 dan RM1,500 masing-masing dan juga pingat.
Secara keseluruhannya, kejohanan ini disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, Kumpulan A dan Kumpulan B.
Empat pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir sebelum mara ke separuh akhir dan akhir serta penentuan tempat ketiga.
Untuk pengetahuan semua, kejohanan ini dilangsungkan selama dua hari iaitu 12hb dan 13hb Oktober bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) 2024.