
Hanya dua daripada 10 wakil Malaysia berhasil melangkah ke kelompok lapan terakhir atau mara ke peringkat suku akhir Terbuka Denmark 2024.
Salah satunya adalah beregu lelaki No.1 negara merangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik sebanyak dua kali, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Beregu yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan melangkah ke peringkat tersebut selepas menyingkirkan beregu junior senegaranya, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kemaraan Aaron Wooi-Yik tidak diberikan laluan mudah dimana mereka terpaksa berentap tiga set permainan dalam tempoh hampir satu jam sebelum dapat menoktahkan perlawanan dengan menerusi skor 21-23, 21-17 dan 21-16.
Menantinya di peringkat suku akhir ialah Chen Bo Yang dan Liu Yi yang menghuni ranking ke-21 dunia.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia yang berhasil menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir ialah Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan – beregu wanita No.1 tanah air.
Diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, Pearly-Thinaah mengesahkan kemaraan selepas berhasil menyingkirkan beregu No.4 Korea, Lee Yu Lim dan Shin Seung Chan pada pusingan 16, juga pada awal pagi tadi.
Sepertimana Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah juga tidak diberikan laluan yang mudah oleh Yu Lim-Seung Chan.
Semi-finalis Sukan Olimpik ini dipaksa bertarung oleh selama satu jam dan 10 minit di atas gelanggang sebelum dapat memuktamadkan kemenangan menerusi pungutan mata 20-22, 21-18 dan 21-16.
Bagi merebut tiket ke peringkat separuh akhi bagi salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 750 ini, Pearly-Thinaah akan berhadapan dengan beregu No.2 Jepun yang turut diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, Rin Iwaga dan Kie Nakanishi pada peringkat suku akhir.