Selepas berperanan sebagai Penaung Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sejak Jun 2023, Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil akan memainkan peranan lebih besar terhadap bola sepak di ibu negara susulan dilantik sebagai Penaung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Perkembangan itu hadir selepas perlantikan Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai sebagai penaung bagi badan induk tersebut diumumkan secara rasmi dalam Majlis Makan Malam Eksklusif Bersama Presiden & Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif KLFA, di Mercure Kuala Lumpur Trion, semalam.
“Saya cukup terharu dan sejujurnya tidak sangka akan diminta untuk membantu sebagai penaung (KLFA) dan saya sudi, sebelum ini saya telah berkhidmat sebagai Penaung KL City FC tetapi sekarang untuk KLFA juga,”
“Niat kita cuma satu, untuk pastikan KLFA dan KL City FC berada dalam satu kedudukan terutamanya kewangan yang lebih stabil dan lebih mapan, dimana beberapa perkara perlu kita teliti, dan harapan saya akan dapat memberikan ‘ease of mind’ di kalangan pemain supaya mereka boleh bermain dengan baik,”
“Sejujurnya, sekiranya diuruskan dengan baik, saya percaya, KL City FC wajar berada dalam ‘Top’ 5 liga tetapi kita akan berusaha mengambil ibrah (atau) pengajaran daripada apa yang telah berlaku dan pasukan akan bekerja dengan lebih keras untuk maju ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Niat Fahmi untuk memastikan kedudukan kewangan KLFA dan KL City FC berada dalam keadaan lebih stabil dan mapan diiringi dengan makluman olehnya bahawa ada pihak korporat yang telah memberikan komitmen secara lisan untuk menaja dan bekerjasama dengan kedua-dua entiti tersebut.
Tiada sebarang nama didedahkan olehnya setakat ini namun ianya akan diumumkan kelak selepas barisan kepimpinan KLFA meneliti perjanjian komersial dan penajaan daripada pihak-pihak tersebut.
Pada masa yang sama, Fahmi sempat mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu yang dipilih pada kongres lalu diketuai oleh Syed Yazid Syed Omar untuk meneraju KLFA sehingga 2028.
Beliau percaya barisan kepimpinan ini dapat membawa KLFA serta bola sepak Kuala Lumpur secara keseluruhannya ke tahap yang lebih membanggakan.
“Kita tahu ada ramai yang bercakap tentang isu tunggakan gaji (dan) beberapa perkara lain, saya serahkan kepada saudara Syez Yazid dan pasukan untuk meneliti perkara-perkara ini,” ujarnya.