Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Stanley Bernard melahirkan keyakinan bahawa pasukannya mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok lima teratas.
Keyakinan itu dilahirkannya selepas barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) – pemilik KL City FC – mula menyelesaikan satu bulan tunggakan gaji bermula Isnin lalu.
Bukan itu sahaja, barisan kepimpinan yang diketuai oleh Syed Yazid Syed Omar itu turut menjanjikan penyusulan penyelesaian tunggakan gaji apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyalurkan dana sebanyak RM1 juta pada penghujung bulan ini.
Dimaklumkan sendiri oleh Syed Yazid, pemain-pemain KL City FC mengalami tunggakan selama tiga bulan dan setengah bagi tahun ini.
“Kita ada Piala Malaysia, jadi, saya merasakan kita ni macam ada feng shui (tuah) dekat (pertandingan) berpiala, harapnya begitulah,” jawabnya ketika ditanyakan keyakinannya terhadap KL City FC selepas isu tunggakan gaji mula diselesaikan selepas Majlis Makan Malam Eksklusif Bersama Presiden & Ahli Jawatankuasa Eksekutif KLFA, semalam.
“Tetapi (saingan) liga saya amat berbangga, sudah tentu dengan mata yang masih kurang, kita masih berada di tempat dimana kita boleh mencabar kelompok lima teratas,”
“Dengan kembalinya mata (yang ditolak) mungkin lebih tinggi tetapi tanpa (mata) itu pun kita masih sedang meningkat dalam beberapa perlawanan terakhir,”
“Saya ada satu ramalan, ini akan menjadi kedudukan terbaik (KL City) dalam saingan liga musim ini, tetapi daripada segi (pertandingan) Piala Malaysia, kita tidak akan tahu,” ujarnya lagi.
Tambah Stanley lagi, beliau melihat satu tenaga baharu dan kesungguhan dalam barisan kepimpinan baharu KLFA selepas mereka berkongsikan mengenai sasaran dan perkara yang perlu dilakukan bagi beberapa fasa sepanjang mereka mengemudi bagi penggal 2024-2028.