Menteri Kewangan Malaysia merangkap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan perincian baharu mengenai peruntukan sebanyak RM15 juta buat skuad bola sepak kebangsaan semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, pada hari ini.
Di dalam pembentangannya, Anwar mengumumkan RM15 juta tersebut akan disediakan buat skuad bola sepak senior kebangsaan iaitu Harimau Malaya serta skuad kebangsaan bawah 18 tahun (B-18) dan skuad kebangsaan bawah 13 tahun (B-13) dengan kerjasama FAM – Persatuan Bola Sepak Malaysia.
Menurut Anwar, peruntukan tersebut diberikan bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memaklumkan peruntukan RM15 juta tersebut adalah untuk membantu usaha memperkasakan skuad kebangsaan dan skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23).
Sebagai timbal balas kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu, Anwar telah meminta FAM menyediakan percanangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi menjamin peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya.