KDN FC Kembali Guna SSMIV Menentang Sri Pahang – 25 Oktober
October 21, 2024 Hafizuddin Omar

Selepas terpaksa menggunakan gelanggang pihak lawan sebagai “home” sejak September lalu, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) akan kembali beraksi di gelanggangnya sendiri iaitu Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu bagi menghadapi Sri Pahang FC pada Jumaat (25hb Oktober).

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh ketua jurulatihnya, Park Jae-hong selepas aksi bertemu skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, KDN FC terpaksa akur tumpas 1-3 di tangan KL City FC hasil gol oleh Nicholas Swirad dan jaringan berganda Paulo Josue.

Manakala jaringan tunggal oleh KDN FC pula hadir menerusi Washington Brandao. 

“Saya harap penyokong Kelantan (Darul Naim FC) memahami perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur tidak mudah, saya harap mereka tidak mengetepikan faktor ini,”

“Bola sepak merupakan sukan yang memerlukan 100% tumpuan dan juga persekitarannya perlu menyokong para pemain untuk beraksi pada tahap yang terbaik,” 

“Pada masa ini, pemain-pemain tidak beraksi mengikut apa yang saya mahukan, bagaimanapun, kita tidak mempunyai pilihan, kita perlu pandang ke hadapan,”

“Harapnya perlawanan menentang Sri Pahang mereka dapat memberikan persembahan yang baik kerana ianya merupakan perlawanan di tempat sendiri (SSMIV),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.

Pengesahan SSMIV kembali digunakan sebagai gelanggang bagi KDN FC turut disahkan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) menerusi jadual perlawanan yang dikongsikan.

Sebelum ini, KDN FC terpaksa memohon untuk menggunakan gelanggang pihak lawan sebagai “home” mereka susulan SSMIV melakukan kerja-kerja menambah baik sistem saliran dan perparitan menggunakan geran yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Featured Image: Kelantan Darul Naim FC

Komen