Kedah vs Terengganu Rekod Kehadiran Kedua Tertinggi Bagi Aksi Liga Super Ke-13
October 21, 2024 Hafizuddin Omar

Bermula dengan penjualan sebanyak empat keping tiket sahaja secara atas talian pada Rabu lalu, kehadiran penonton untuk menyaksikan pertembungan melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar muncul selaku kedua tertinggi bagi perlawanan Liga Super ke-13.

Menerusi perkongsian jumlah kehadiran penonton ke stadium oleh pihak penganjur, aksi yang menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi Zain meraih kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC itu merekodkan kehadiran seramai 3,281 pada Sabtu lalu. 

Sementara itu, rekod kehadiran tertinggi bagi perlawanan ke-13 Liga Super jatuh kepada pertembungan melibatkan PDRM FC dan Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada hari yang sama.

Pertembungan yang berakhir dengan PDRM FC mencuri satu mata daripada Selangor FC bimbingan Nidzam Jamil pada minit-minit terakhir permainan itu merekodkan kedatangan seramai 4,971 orang penonton.

Kehadiran ketiga tertinggi pula direkodkan pada pertembungan melibatkan Perak FC dan Sabah FC yang berakhir dengan keputusan 2-4 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung – 2,531 orang.

Manakala kehadiran tercorot bagi perlawanan Liga Super ke-13 dicatatkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang menjadi “home” buat Kelantan Darul Naim FC menentang Kuala Lumpur City FC – 818 orang.

Senarai lengkap kehadiran penonton bagi perlawanan Liga Super ke-13:

  • PDRM FC vs Selangor FC – 4,971 orang
  • Kedah Darul Aman FC vs Terengganu FC – 3,281 orang
  • Perak FC vs Sabah FC – 2,531 orang
  • Kuching City FC vs Negeri Sembilan FC – 1,337 orang
  • Penang FC vs Sri Pahang FC – 1,104 orang
  • Kelantan Darul Naim FC vs Kuala Lumpur City FC – 818 orang
Komen