Kita Jalankan Kelab Bola Sepak, Bukan Badan Kebajikan – Pengerusi Penang FC
October 21, 2024 Hafizuddin Omar

Tindakan segera akan diambil oleh pihak pengurusan tertinggi Penang FC kelab tersebut gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC, YB Daniel Gooi Zi Sen selepas skuad bimbingan Akmal Rizal itu tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC di Stadium Bandaraya pada aksi ke-13 Liga Super, pada malam tadi.

Tiada sebarang bayangan diberikan oleh Daniel yang juga merupakan Exco Belia, Sukan & Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengenai tindakan yang akan diambil oleh pengurusan tinggi skuad berjulukan Harimau Kumbang terbabit setelah dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) pada hari ini.

Sementara itu, empat perlawanan melibatkan Penang FC sebelum itu berakhir dengan keputusan tewas 2-4 di tangan Kuala Lumpur City FC, seri 2-2 bertemu Negeri Sembilan FC, tumpas 0-5 berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seri 2-2 ketika menentang Kuching City FC.

Kemenangan terakhir dilakar Penang FC adalah ketika turun melayan kunjungan Kelantan Darul Naim FC dengan catatan 3-0 pada 1hb Ogos lalu.

Dalam satu lagi hantaran di media sosialnya, Daniel turut memuat naik sekeping gambar sambil menyertakan kapsyen, “Kita menjalankan kelab bola sepak. Bukan sebuah badan kebajikan. Jadikan ingatan untuk semua.”

Ketika ini, Penang FC berada di kedudukan kesebelas – ketiga tercorot – selepas mengharungi 12 perlawanan.

View this post on Instagram

A post shared by Daniel Gooi (@dgooizs)

Featured Image: Facebook Daniel Gooi

Komen