Sepucuk warkah telah dititipkan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kepada pihak pengurusan Selangor FC, pada 10hb Oktober, demikian perkongsian daripada Selangor Royal Office.
Dimaklumkan, warkah tersebut dititipkan oleh Baginda yang juga merupakan penaung Selangor FC selepas mengambil kira keadaan semasa dan prihatin dengan semangat persaingan yang kian memuncak melibatkan kancah Liga Super.
Dalam warkah berkenaan, Baginda mengingatkan semua pihak agar menjaga tingkah laku masing-masing supaya tidak berlaku lagi perselisihan faham dan pergaduhan di dalam mahupun luar padang, yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.
Baginda juga mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.
“Sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan,” titah baginda.
Baginda juga ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat jelata tanpa ada anasir-anasir luar yang cuba yang merosakkan.
Titah pesanan tersebut dizahirkan oleh Baginda kepada pengurusan Selangor FC, kelab-kelab penyokong dan juga semua penyokong khususnya UltraSel yang hadir ke stadium pada setiap perlawanan.
Featured Image: Facebook Selangor Royal Office