Tonggak tengah Selangor FC dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh nampaknya bukan sahaja tidak dapat beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC pada Rabu di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ.
Bahkan pemain berusia 27 tahun yang berketinggian 1.87 meter (m) itu juga tidak beraksi untuk baki saingan ACL2, Liga Malaysia serta menabur bakti untuk skuad kebangsaan Jordan sehingga sekitar pertengahan tahun hadapan.
Ini berikutan ketua jurulatih berjulukan Gergasi Merah, Nidzam Jamil mengesahkan Noor telah kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (acl) dalam sidang media praperlawanan ACL2, pada hari ini.
“Doktor pasukan telah mengesahkan Noor Al-Rawabdeh telah putus (ligamen) acl selepas melakukan imbasan MRI dan menunjukkan putus (ligamen) dalam lututnya,”
“Menyedihkan, dia akan hilang untuk sembilan bulan seterusnya,” katanya memberikan pengesahan mengenai pemain tengah yang telah menyumbangkan dua gol dan dua “assist” daripada 15 penampilan pada musim ini.
Kecederaan terbabit menimpa Noor ketika dia diturunkan beraksi untuk menentang Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Selangor FC bertambah tempang apabila Nidzam memaklumkan kesediaan pemain sayap importnya, Alvis Fortes untuk beraksi menentang naib juara Piala FA Korea 2023 terbabit tertakluk kepada pelepasan oleh doktor pasukan.
Sepertimana Noor, Alvin juga mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi menentang PDRM FC dalam saingan Liga Super pada Sabtu lalu dimana keputusan berakhir dengan seri 1-1.
Manakala dua pemain lagi, Safwan Baharuddin dan Mukhairi Ajmal pula disahkan oleh Nidzam tidak tersenarai untuk menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC.
Sebagai rekod, Selangor FC kini berada di tangga kedua Kumpulan H ACL2 selepas mencatatkan keputusan seri bertemu Muangthong United FC dan menang menentang Dynamic Herb Cebu FC.
Manakala Jeonbuk Hyundai Motors FC pula mengungguli Kumpulan H selepas berpesta gol menentang Dynamic Herb Cebu FC dan Muangthong United FC dengan kemenangan 5-0 masing-masing.
Featured Image: Selangor FC