Rosman Razak Ketua Jurulatih Beregu Wanita BAM – Mula Tugas 5 November
October 22, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hari ini mengesahkan kembalinya Rosman Razak ke pangkuan badan induk badminton tanah air tersebut selaku Ketua Jurulatih Beregu Wanita.

Menurut makluman daripada BAM, beliau yang mesra dengan panggilan Coach Rosman akan memulakan tugasnya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada 5hb November kelak.

“Kami mengalu-alukan kepulangan semula Rosman dalam pasukan kejurulatihan,”

“Pengalamannya selama bertahun-tahun bersama pasukan kebangsaan adalah tidak ternilai, dan kami percaya kepimpinannya akan menjadi aset penting dalam memacu skuad beregu wanita ke tahap yang lebih tinggi,” ujar Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky.

Selaku ketua jurulatih beregu wanita, Rosman akan mempimpin jabatan beregu wanita yang turut disertai oleh Ching Kai Feng dan Amelia Anscelly – jurulatih senior dan remaja masing-masing – disamping melaporkan kepada Rexy.

Ketika ini, hanya beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan sahaja yang telah disahkan menjadi pemain atau beregu skuad senior kebangsaan bagi tahun 2025.

Seramai sepuluh pemain lain lagi berada dalam senarai yang akan dinilai oleh Coach Rosman, selepas ini.

Sebagai rekod, Coach Rosman meninggalkan badan induk badminton tanah air pada penghujung tahun 2020 selepas berpisah dengan persetujuan bersama BAM.

Komen