Ng Qi Xuan Mohon Derma Orang Ramai Untuk Pembedahan Lutut – Sekitar RM30,000
Hafiz Omar

Pemain beregu wanita bebas (independent), Ng Qi Xuan yang mengalami kecederaan lutut serius ketika beraksi dalam saingan BAM Malaysia Super 100 pada minggu lalu memohon derma daripada orang ramai.
Menerusi hantaran di akaun media sosialnya, pemain berusia 24 tahun tersebut memohon derma sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 bagi membayar kos pembedahan dan beberapa bil daripada hospital.
Selepas melakukan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), keputusan menunjukkan Qi Xuan mengalami kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL), medial collateral ligament (MCL), posterior cruciate ligament (PCL), lateral cruciate ligament (LCL) dan sedikit keretakan tulang.
“Sejujurnya, saya terkejut dengan keputusan itu, dimana ini merupakan kecederaan besar yang pertama dialami saya,”
“Ibu bapa saya sudah bersara pada ketika ini, dan saya tidak mempunyai pendapatan memandangkan saya tidak mampu melakukan (kerja-kerja) kejurulatihan dengan lutut yang cedera teruk sekarang,” katanya.
Jelas Qi Xuan, derma tersebut dimohonnya ekoran polisi insuran langganannya tidak menanggung kos berkenaan.
Untuk makluman, Qi Xuan mengalami kecederaan lutut tersebut ketika bergandingan bersama Yap Rui Chen pada peringkat separuh akhir menentang beregu di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing pada Sabtu.
Lebih mendukacitakan, kecederaan itu menimpanya ketika Qi Xuan-Rui Chen berada pada mata akhir, 20-18, pada set kedua selepas memenangi set pertama dengan keputusan 22-20.
Susulan kecederaan yang menyaksikan lututnya terkehel itu, Qi Xuan dan pasangannya terpaksa memberhentikan permainannya sekaligus memberikan kemenangan kepada Pei Kee-Mei Xing.
Pada masa yang sama, Qi Xuan mengucapkan terima kasih kepada kepada BAM iaitu Setiausa Agung, Dato’ Kenny Goh Chee Keong dan pembantunya, Mohd Taupik Haji Hussain yang melawatnya di hospital.
Pihak badan induk badminton tanah air turut menawarkan rawatan rehabilitasi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) apabila bersedia kelak.