Glasgow Tuan Rumah Komanwel 2026 – Hanya 10 Sukan Dipertandingkan
October 23, 2024 Hafizuddin Omar

Glasgow, Scotland akhirnya disahkan sebagai hos bagi Sukan Komanwel Edisi Ke-23 yang akan dilangsungkan pada tahun 2026, demikian pengumuman oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).

Temasya sukan yang akan melibatkan 74 negara Komanwel itu dijadualkan berlangsung dari 23hb Julai (Khamis) hingga 2hb Ogos (Ahad) 2026.

Bersama-sama dengan pengumuman pengesahan sebagai hos itu juga, CGF memaklumkan Sukan Komanwel 2026 itu akan mempertandingkan sepuluh jenis sukan sahaja iaitu akuatik – renang, olahraga, bola keranjang 3×3, tinju, basikal – trek, gimnastik, judo, boling padang, bola jaring dan angkat berat.

Kesemua sukan itu akan dipertandingkan di empat buah venue iaitu Stadium Scotsun, Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arena Emirates – termasuk Velodrom Sir Chris Hoy dan Kampus Acara Scotland.

Pada masa yang sama, penganjur turut memperlihatkan logo temasya, Glasgow 2026, yang diinspirasikan daripada elemen-elemen kejuruteraan, seni bina dan alam semula jadi di bandar tersebut seperti Sungai Clyde, Kren Finnieston dan Gerbang Clyde.

Untuk makluman semua, pemilihan Glasgow, Scotland sebagai hos menandakan kembalinya temasya ini ke bandar yang sama selepas berlangsungnya Sukan Komanwel 2014 di lokasi yang sama.

Komen