Bekas penyerang skuad kebangsaan Uruguay yang memenangi anugerah Bola Emas di saingan Piala Dunia 2010, Diego Forlan bakal beraksi dalam sebuah kejohanan tenis profesional.
Debut itu bakal dilakukannya di saingan Terbuka Uruguay 2024 yang akan berlangsung dari 11hb November hingga 17hb November bertempat di Carrasco Lawn Tennis Club – gelanggang tanah liat.
Kejohanan ini merupakan salah satu siri daripada ATP Challenger Tour dan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$133,250.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengarah kejohanan, Diego Perez menerusi satu perkongsian ketika ditembual dalam podcast, Tenistas Sin Saque dan turut dikongsikan oleh akaun rasmi kejohanan.
Turut dimaklumkan, bekas pemain bola sepak yang berusia 45 tahun berkenaan akan menyertai acara beregu lelaki bergandingan bersama pemain No.101 dunia yang berusia 32 tahun dari Argentina, Federico Coria.
Sebelum ini, Forlan yang pernah menyarung jersi beberapa kelab besar di eropah seperti Manchester United, Villareal, Atletico Madrid dan Inter Milan telah aktif menyertai lima kejohanan tenis dalam siri ITF Masters Tour.
Forlan melakukan debut dalam siri kejohanan terbabit pada Julai 2023 selepas mengumumkan persaraannya daripada karier bola sepak profesional pada tahun 2018.
Featured Image: FIFA