Ranking BWF: Juara Super 100 Rekod Kenaikan 27 Anak Tangga

October 23, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing yang merangkul kejuaraan di kejohanan BAM Malaysia Super 100 pada Ahad lalu berjaya mencatatkan lompatan besar dalam Ranking Dunia BWF.

Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa, gandingan pemain berusia 22 dan 27 tahun kini merekodkan peningkatan sebanyak 27 anak tangga.

Peningkatan itu sekaligus menempatkan mereka di tangga ke-85 ranking dunia bagi minggu ini.

Untuk makluman semua, kejuaraan yang dirangkul Pei Kee-Mei Xing itu hasil menumpaskan beregu Chinese Taipei, Nicole Gonzales Chan dan Yang Chu dengan keputusan 22-20 dan 21-11 dalam tempoh masa 42 minit.

Sebagai rekod, itu merupakan kejuaraan pertama mereka sejak kembali bergandingan pada Jun lalu.

Sementara itu, sepasang lagi beregu Malaysia yang muncul juara di kejohanan yang sama dalam kategori beregu lelaki, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong turut merekodkan peningkatan dalam Ranking Dunia BWF.

Hang Yee-Eng Cheong yang menumpaskan beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi dan Presley Smith pada perlawanan akhir dengan keputusan 19-21, 21-15 dan 21-12 kini berada di ranking ke-49 dunia – meningkat tiga anak tangga. 

Kejuaraan tersebut merupakan yang pertama dirangkul oleh Hang Yee-Eng Cheong pada tahun ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd