Selangor FC bimbingan Nidzam Jamil berhasil melakukan kejutan dengan menumpaskan naib juara Piala FA Korea 2023, Jeonbuk Hyundai Motors FC pada aksi ketiga peringkat Kumpulan H, Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Kejutan itu hadir susulan Selangor FC melakar kemenangan 2-1 hasil jaringan kapten pasukan, Harith Haiqal dan penyerang kebangsaan Jordan, Ali Olwan pada minit ke-31 dan ke-33 masing-masing.
Sementara itu, jaringan saguhati oleh Jeonbuk Hyundai Motors FC pula disumbangkan oleh Kwon Chang-hoon selang tujuh minit selepas jaringan Ali Olwan dan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Aksi separuh masa kedua bersambung dengan kedua-duanya saling serang-menyerang secara bertubi-tubi ke arah gawang lawan masing-masing.
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan dijelmakan sekaligus menyaksikan pengadil dari Iran, Mooud Bonyadifard meniup wisel menamatkan permainan dengan keputusan 2-1 berpihak kepada skuad Gergasi Merah.
Kemenangan kedua Selangor FC dalam kancah ACL2 yang disaksikan seramai 7,257 penonton di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya turut membolehkan mereka memimpin Kumpulan H selepas tiga perlawanan.
Featured Image: Selangor FC