Tindakan Buang Masa Perlu Diubah – Ketua Jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors FC
October 24, 2024 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors FC, Kim Do-heon percaya tindakan membuang masa semasa perlawanan berlangsung dalam bola sepak Malaysia perlu diubah.

Do-heon yang pernah beraksi sebagai pemain import Negeri Sembilan pada musim 2018 melontarkan nasihat tersebut selepas pasukannya tewas 1-2 di tangan Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), pada malam tadi.

Situasi itu pastinya dilihat ketara pada separuh masa kedua ketika pasukannya sedang memburu gol penyamaan dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan H bagi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

“Prestasi mereka (Selangor FC) sungguh hebat, (tetapi) berkenaan tindakan yang membuang masa, malahan bola sepak Malaysia, perlu ditambah baik, saya percaya perkara ini perlu berubah untuk peminat juga,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pada masa yang sama, jurulatih berusia 42 tahun tersebut mengakui skuad berjulukan Gergasi Merah melakukan persiapan yang baik untuk beraksi dengan cemerlang seperti melakukan serangan balas dan tidak memberikan ruang buat pasukannya.

Susulan kekalahan tersebut, Jeonbuk Hyundai Motors FC terpaksa akur jatuh ke kedudukan kedua dalam Kumpulan H – berbeza satu mata dengan Selangor FC selaku pendahulu.

Untuk perlawanan seterusnya, Jeonbuk Hyundai Motors FC akan menantikan kunjungan Selangor FC di lamannya sendiri untuk aksi keempat peringkat Kumpulan H pada 7hb November.

Featured Image: AFC

Komen