Noor Jalani Pembedahan Rabu Hadapan, Harap Dapat Kembali Kurang Dari 9 Bulan
October 24, 2024 Hafizuddin Omar

Tonggak tengah Selangor FC dan skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh memaklumkan akan menjalani pembedahan melibatkan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya pada Rabu hadapan. 

Perkara tersebut dikongsikan pemain berusia 27 tahun itu sendiri sambil mengesahkan pembedahan tersebut akan dilakukan di Malaysia.

Noor disahkan mengalami kecederaan tersebut selepas melakukan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) pada Isnin lalu ditimpa kecederaan berkenaan ketika turun menentang PDRM FC, Sabtu lalu.

“Saya akan melakukan pembedahan di sini, mengenai rehabilitasi kami belum menentukannya, kita akan lihat apa yang terbaik untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas Selangor FC menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC pada malam tadi.

Bercakap mengenai kecederaan serius dan ditakuti oleh ramai pemain bola sepak itu, Noor berkata menerimanya dengan penuh keredaan.

Bagaimanapun, pemain yang telah menyumbangkan dua gol dan dua “assist” daripada 15 penampilan bersama Selangor FC pada musim ini memasang tekad untuk pulih secepat yang mungkin dan kembali beraksi buat Gergasi Merah serta skuad kebangsaan Jordan.

“Saya harap tidak sampai 9 bulan (rehat), saya harap kurang daripada itu, Insya-Allah, saya akan cuba dan berjanji untuk kembali kurang daripada 9 bulan,” ujarnya.

Noor yang turun ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya menentang naib juara Piala FA Korea 2023 mengakui tidak dapat menahan rasa “geram” kerana tidak dapat berjuang bersama-sama di atas padang.

Bagaimanapun, dengan keputusan 2-1 yang dicatatkan oleh Selangor FC ke atas Jeonbuk Hyundai Motors FC, Noor berasa gembira melihat rakan sepasukannya serta para penyokong turut gembira meraikan kemenangan tersebut.

“Insya-Allah, mereka mampu mengekalkannya (kemenangan),” katanya.

Featured Image: AFC

Komen