Individu Bergelar Dato’ Sumbang Tajaan RM300,000 Buat Kedah Darul Aman FC
October 24, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air yang giat mencari penajaan bagi menyelesaikan kemelut kewangannya, Kedah Darul Aman FC mendapat tajaan daripada bernilai enam angka.

Penajaan tersebut diberikan oleh seorang individu bernama Dato’ Royfaizal Razali Chong yang bernilai RM300,000 secara tunai dan telah dimasukkan secara terus ke akaun Darulaman Football Club Sdn Bhd – syarikat yang memiliki kelab berjulukan Sang Kenari itu.

“Saya ada terbaca juga di media sosial berkenaan dengan tunggakan gaji pemain bola tetapi pemain masih bersemangat untuk terus bermain pada masa yang sama menantikan sinar harapan daripada bakal penaja yang ada.” katanya menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya selepas bertemu dengan pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar pada Rabu.

“Apabila berbual dengan Tan Sri, orangnya sangat ramah dan komited berusaha mencari penaja memberi suntikan dana kepada kelab dan dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika ini.”

“Secara peribadi, saya tahu RM300,000 tak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang ada, tetapi saya percaya ianya mampu untuk mengurangkan sedikit sambil berdoa ada lagi penaja yang tampil ke depan.” ujarnya lagi.

Menurut Razali sendiri, beliau bukanlah merupakan anak jati negeri yang berjulukan jelapang padi tersebut. 

Namun begitu, negeri itu berada dekat dengan dirinya selepas mendapat Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M) kurniaan KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-82.

Difahamkan kurniaan itu diberikan kepadanya berikutan sokongan kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Cancer Survivors Malaysia (CSM).

Selain itu, beliau juga merupakan bekas pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat peluang untuk menyambung pelajaran dalam Ijazah Kedoktoran di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah.

Sebelum ini, kemelut kewangan yang dialami Kedah Darul Aman FC telah menyebabkan beberapa pemain seniornya bertindak “memboikot” beberapa perlawanan dan sesi latihan berikutan tidak mendapat gaji.

Pada minggu lalu, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor juga sedia mempertimbangkan kaedah untuk meringankan kemelut kewangan dihadapi Kedah Darul Aman FC menerusi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Featured Image: Facebook Royfaizal Razali Chong

Komen