Jurulatih kelahiran Itali berusia 59 tahun, Roberto Mancini tidak lagi berperanan sebagai ketua jurulatih bagi skuad bola sepak kebangsaan Arab Saudi.
Ini selepas Mancini dan majikannya, Persekutuan Bola Sepak Saudi (SAFF) mengesahkan kedua-duanya telah bersepakat untuk berpisah selepas bekerjasama selama 14 bulan.
Pengesahan itu disiarkan oleh SAFF dan dikongsikan menerusi pelbagai platform media sosialnya, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Perkongsian itu turut menyatakan ketua jurulatih baharu akan diumumkan dalam masa beberapa hari selepas prosedur-prosedur kontrak telah dimuktamadkan.
Untuk makluman, Mancini yang membimbing Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala serta memimpin skuad berjulukan Azzurri muncul juara kejohanan EURO 2020 diumumkan sebagai pengendali Arab Saudi pada Ogos 2023 dengan kontrak selama empat tahun.
Ketika itu, Mancini meletakkan sasaran untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Asia selama 27 tahun buat skuad berjulukan The Green Falcons.
Bagaimanapun, pencapaian Mancini di pentas tersebut hanyalah setakat pusingan 16 sahaja.
Secara keseluruhannya, Mancini telah mengendalikan 14 perlawanan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan Arab Saudi termasuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Sementara itu, empat perlawanan awal peringkat Kumpulan C bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan Mancini hanya merekodkan satu kemenangan sahaja.
Featured Image: Saudi Arabian Football Federation