Liga Super: JDT Benam Selangor, Rekod Tanpa Kalah Belum Tercalar
October 27, 2024 Hafizuddin Omar

Rekod tanpa kalah kelab gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2024-25 masih belum tercalar.

Ianya masih bertahan biarpun turun menentang pencabar terdekatnya dalam saingan domestik iaitu Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Bahkan, skuad berjulukan Harimau Selatan itu berjaya mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Selangor FC menerusi skor 3-0.

Penyerang naturalisasi kebangsaan, Romel Morales dan penggempur dari Brazil, Bergson da Silva mencatatkan nama selaku penjaring buat JDT dalam pertembungan yang disaksikan 10,215 penonton terbabit.

Jaringan oleh Romel dijelmakannya pada minit ke-30 sementara dua gol daripada Bergson pula dibutirkan pada minit ke-44 dan ke-54 (p) masing-masing.

Kedudukan 3-0 tersebut kekal sehingga pengadil bertugas, Muhammad Nazmi Nasaruddin meniup wisel bagi menamatkan permainan.

JDT kini semakin kukuh di puncak liga dengan kutipan 34 mata daripada 12 perlawanan manakala Selangor kekal di tangga kedua – 26 mata daripada 13 perlawanan.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen