Kejohanan hoki bawah 17 tahun (B-17) anjuran Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) iaitu Piala Mirnawan edisi ketiga yang akan berlangsung dari 3hb hingga 9hb November 2024 bakal menarik pembabitan 10 buah pasukan dari luar negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ianya melibatkan pembabitan lima buah pasukan bagi kategori lelaki iaitu Afrika Selatan, Kanada, Austria, Korea dan Queensland (Australia).
Manakala lima buah pasukan antarabangsa bagi kategori wanita pula diisi oleh Afrika Selatan, Jepun, Austria, Korea dan Queensland (Australia).
Pembabitan pasukan-pasukan antarabangsa tersebut disahkan sendiri oleh barisan penganjur dalam satu sidang media Piala Mirnawan 2024 bertempat di Majlis Sukan Negara (MSN), pada hari ini.
Sementara itu, pasukan dari Malaysia pula terdiri daripada dua pasukan iaitu Malaysia Speedy dan Malaysia Tigers bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing.
“Piala Mirnawan ini adalah satu-satunya kejohanan antarabangsa yang dianjurkan oleh NHDP, tujuannya satu sahaja (iaitu) untuk mendedahkan pemain muda kita lebih awal, biar mereka merasai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa, dan juga untuk memperkasakan lagi skil (dan) kematangan permainan mereka,”
“NHDP ini amat penting, kita dapati sejak dua tahun lepas program ini dibuat (telah) memberikan banyak manfaat kepada kita dan pada tahun ini kita harap pasukan kita dapat bermain dengan lebih baik,” kata Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Mohd Ghani.
Sebagai rekod, kehadiran 10 buah pasukan antarabangsa ini meningkat sebanyak tiga pasukan berbanding Piala Mirnawan edisi kedua yang berlangsung pada tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal mengucapkan terima kasih kepada MSN dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) – pemegang taruh NHDP – kerana menganjurkan kejohanan ini.
“Kejohanan ini amat bermakna untuk KHM kerana sepertimana kita sedia maklum, salah satu aspek (penting) pasukan kebangsaan adalah pendedahan,” ujarnya dalam sidang media berkenaan.
“Masalah yang kita (KHM) hadapi, kita kurang memberi pendedahan kepada pasukan-pasukan remaja ataupun untuk pemain-pemain muda kerana kita sedia maklum dana adalah masalah utama dalam KHM,”
“Ini isu yang kita ada, kekurangan dana, tetapi kami tidak merungut, kita amat-amat berterima kasih kepada YB Menteri (dan) Ketua Pengarah MSN, kerana masih membantu kami (KHM) untuk mengadakan program-program walaupun kekurangan dan kekangan kewangan,” tambahnya lagi.
Subahan melihat penganjuran kejohanan antarabangsa di tempat sendiri untuk pemain-pemain B-17 seperti Piala Mirnawan menjadi formula paling tepat untuk memberikan pendedahan serta pengalaman kepada pemain-pemain tempatan.
Disamping itu, ianya menjimatkan kewangan berbanding membawa pasukan terbang menyertai kejohanan-kejohanan antarabangsa di luar negara.
Featured Image: NHDP