Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mendapatkan sebuah lagi pasukan untuk dihadapi oleh skuad senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan November 2024.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan oleh badan bola sepak induk kebangsaan pada hari ini, pasukan yang berjaya didapatkan tersebut ialah Laos yang menghuni ranking ke-187 dunia.
Pertembungan dengan Laos itu diklasifikasikan sebagai Perlawanan Antarabangsa Tier 1 dimana ianya akan dilangsungkan pada 14hb November (Khamis) bertempat di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok.
Ini sekaligus mengelakkan daripada Harimau Malaya hanya beraksi satu sahaja Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Jendela FIFA sepertimana pada bulan Oktober 2024.
Bagi perlawanan ini juga, Laos turun dengan status pasukan tuan rumah, bagaimanapun, Laos tidak dapat melangsungkan perlawanan ini di gelanggangnya sendiri, Stadium Nasional Lao, Vientiane di tanah airnya sendiri.
Ini berikutan stadium tersebut telah dipilih sebagai venue bagi pertemuan melibatkan DPR Korea menentang Iran pada tarikh yang sama bagi aksi Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.
Difahamkan, Bangkok pula dipilih disebabkan Laos akan menentang skuad berjulukan gajah perang iaitu Thailand selang tiga hari kemudian.
Selepas berhadapan Laos, Harimau Malaya bimbingan Pau Marti berlepas ke India bagi menentang skuad bola sepak kebangsaan negara berkenaan pada 19hb November (Selasa) – sepertimana yang telah diumumkan sekitar penghujung September lalu.
Pertembungan menentang pasukan yang menghuni ranking ke-125 tersebut turut diklasifikasikan sebagai Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Akan tetapi, FAM serta Harimau Malaya masih belum mendapat jawapan muktamad daripada India sehingga saat ini mengenai venue yang akan dipilih bagi melangsungkan pertembungan tersebut.