Kemenangan Buat JDT Paling Penting, Bukan Jumlah Jaringan Gol – Bergson da Silva
October 28, 2024 Hafizuddin Omar

Mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Super bukanlah buruan utama penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva biarpun namanya semakin mengukuh di kedudukan tersebut.

Namanya kian mengukuh di puncak carta itu selepas pemain berusia 33 tahun kelahiran Brazil terbabit meledak dua gol ketika turun membantu Harimau Selatan menumpaskan Selangor FC dengan keputusan 3-0 pada Ahad di Stadium MBPJ.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak menggirangkan sebagaimana dapat memberikan kemenangan buat JDT yang turut sama mengekalkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam kempen Liga Super musim ini.

“Sangat gembira dapat bagi kemenangan ini kepada pasukan sebab kita semua begitu bekerja keras untuk terus berada di atas.”

“Tetapi, jumlah gol daripada saya adalah perkara kedua kerana yang paling penting untuk saya adalah kemenangan JDT dalam setiap perlawanan dan saya gembira untuk membantu.”

“Perlawanan malam ini (semalam) juga sebenarnya bukan mudah dan mereka (Selangor FC) ada pemain yang bagus di mana kami juga sukar untuk menembusi pertahanan mereka.”

“Selangor sentiasa menjadi pesaing yang kuat tetapi hari ini (semalam) kita buktikan kita masih berada di atas untuk saingan Liga Super,” katanya.

Sementara itu, pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng pula menyifatkan dua gol daripada JDT pada separuh masa pertama sedikit sebanyak merencatkan permainan mereka sehingga gagal untuk meraih sebarang jaringan sehingga saat wisel menamatkan permainan ditiup oleh pengadil bertugas, Nazmi Nasaruddin.

“Kita dah cuba berikan yang terbaik, tetapi tidak bernasib baik untuk menang dan kita tahu JDT antara pasukan terbaik yang ada di Malaysia, jadi memang susah kalau nak dapatkan keputusan yang baik menentang mereka.”

“Walaupun ketinggalan, kita cuba juga untuk ubah bagi lebih tekanan di separuh masa kedua tetapi masih tidak menjadi dan kami akur dengan kekalahan ini,” jelasnya.

Bagi perlawanan seterusnya, Selangor FC dijadualkan berhadapan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada 2hb November.

Manakala JDT bimbingan Hector Bidoglio pula akan berhadapan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Komen