Gergasi Takraw Thailand Antara Yang Turun Rebut Kejuaraan STL Champions Cup 2024

October 29, 2024
Lain-Lain

Hafiz Omar

Perebutan gelaran juara bagi saingan STL Champions Cup 2024 bertambah menyerikan apabila penganjur memaklumkan akan disertai oleh pasukan gergasi Thailand iaitu Thai Airforce Takraw Club.

Selain daripada pasukan dari negara berkenaan, penganjur turut mengesahkan penyertaan tiga lagi pasukan jemputan dari luar negara iaitu Garuda Sepak Takraw (Indonesia), India Fighters (India) dan MGPC Singapore (Singapura).

Penyertaan pasukan-pasukan jemputan di atas yang turut dibarisi pemain kebangsaan dan jagoan dunia seperti Siriwat Sakha, Pichet Pansan (Thailand) dan Yumnam Akash (India) sekaligus menjanjikan aksi yang lebih berkualiti dalam saingan STL Champions Cup edisi ini.

Sementara itu, Kuala Lumpur Thunder serta tiga lagi pasukan dalam kalangan empat teratas saingan Liga Premier STL akan melengkapkan penyertaan lapan buah pasukan bagi saingan yang akan berlangsung bermula 13hb hingga 17hb November di gelanggang baharu iaitu Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Serdang Jaya.

Pengesahan tiga buah lagi pasukan tempatan tersebut akan disahkan selepas berlangsungnya GP Johor – medan terakhir untuk menentukan kedudukan akhir bagi saingan Liga Premier STL 2024 – bertempat di Arena Larkin, Johor pada 2hb November kelak. 

Sebagai rekod, STL Champions Cup pada edisi lalu berjaya dimenangi oleh Negeri Sembilan Antlers selepas menumpaskan Perak Bison dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Iskandar Puteri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd