
Pemain tengah yang membantu Manchester City menjuarai Liga Perdana (PL) buat empat kali berturut-turut serta skuad kebangsaan Sepanyol menjulang kejuaraan EURO 2024 dipilih sebagai pemenang anugerah Ballon d’Or 2024.
Pengumuman pemain berusia 28 tahun itu selaku pemenang anugerah individu berprestij itu berlangsung dalam satu majlis di Theatre du Chatelet, Paris pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Rodri memenangi Ballon d’Or pertamanya selepas undian yang diperolehinya mengatasi dua lagi pemain Real Madrid iaitu Vinicius Jr. dan Jude Bellingham yang mendapat undian kedua dan ketiga tertinggi masing-masing.
Bagi anugerah Ballon d’Or wanita, ianya menjadi milik pemain FC Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Aitana Bonmati buat kali kedua berturut-turut.
Sementara itu, di majlis yang sama, Lamine Yamal dan Emiliano Martinez dipilih sebagai pemenang Kopa Trophy (pemain terbaik bawah 21 tahun) dan Yashin Trophy (penjaga gol terbaik) masing-masing.
Manakala dua pemain iaitu Harry Kane (Bayern Munich & England) dan Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain/Real Madrid & Perancis) pula membawa pulang Gerd Muller Trophy (penyerang terbaik).
Pengendali dari Itali yang memimpin Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara UEFA Ke-15 iaitu Carlo Ancelotti pula dipilih sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik Tahunan.
Untuk makluman, kesemua anugerah dan trofi yang dipertandingkan ini merupakan penganugerahan daripada majalah bola sepak, France Football dengan kerjasama UEFA.

Featured Image: Ballon d’Or