Dua Pemain Selangor FC Diperkenalkan Sebagai Duta Skechers Malaysia Dalam Arena Bola Sepak
Hafiz Omar

Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin dan pemain mudanya, Syahir Bashah akan beraksi di atas padang dengan menyarung but berjenama Skechers dalam perlawanan-perlawanan mendatang.
Perkembangan ini hadir selepas pemain berusia 33 dan 23 tahun masing-masing itu diperkenalkan sebagai Atlet Bola Sepak Skechers sekaligus menjadi duta bagi jenama kasut dari Amerika Syarikat terbabit dalam arena bola sepak di Malaysia.
Pengenalan Safuwan dan Syahir selaku duta bagi jenama berkenaan diumumkan dalam satu acara previu eksklusif Koleksi Bola Sepak Skechers bertempat di Football Republic Kuala Lumpur, pada hari ini.
Selain daripada dua pemain tersebut, penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan skuad kebangsaan, Azri Ghani juga dipilih sebagai Atlet Bola Sepak Skechers dan Duta Skechers dalam arena bola sepak.

Sementara itu, acara tersebut turut memperkenalkan Bunga Raya Damansara FC yang beraksi dalam kancah Liga A1 – Semi Pro selaku Rakan Pasukan Bola Sepak Skechers Malaysia disamping menampilkan Khair Jones, Mathias Mansor, Raja Imran Shah dan Khyril Muhymeen untuk ditemui para tetamu yang hadir.
Acara tersebut juga menandakan koleksi bola sepak daripada Skechers – but dan bola sepak – mula dijual secara rasmi di pasaran tempatan selepas memperkenalkannya di peringkat global pada Ogos 2023.
Pada saat itu, Skechers turut mengumumkan penyerang Bayern Munich dan skuad kebangsaan England sebagai duta jenamanya bagi jangka masa panjang.
Buat masa ini, Skechers mempunyai dua model bagi but bola sepak iaitu SKX_01- 1.5 Elite FG dan Razor – 1.5 Elite FG dimana versi Elite dijual pada harga RM1,099. Manakala versi “Junior Youth” dan “Academy” pula diletakkan tanda harga bermula RM259 dan RM459 masing-masing.


Bagi yang berminat untuk mendapatkannya, ianya dijual secara eksklusif di kedai-kedai terpilih seperti Football Republic, Sportmart, Bootsmania dan TFC Football.
Untuk makluman, di peringkat global, but Skechers ini turut disarung oleh Oleksandr Zinchenko (Arsenal, Ukraine), Anthony Elanga (Nottingham Forest, Sweden) dan Mohammed Kudus (West Ham United, Ghana).