HBO Hasilkan Siri Dokumentari Pasukan AS Bimbingan Pochettino Ke Piala Dunia 2026
October 30, 2024 Hafizuddin Omar

Perjalanan skuad bola sepak lelaki kebangsaan Amerika Syarikat (AS) ke Piala Dunia 2026 akan dapat disaksikan dengan lebih dekat dan terperinci oleh para penyokong dan peminat.

Ini susulan sebuah siri dokumentari mengenai perjalanan skuad AS bimbingan Mauricio Pochettino – bekas pengurus Tottenham Hotspur, Paris Saint-Germain dan Chelsea – sedang dihasilkan dan bakal diterbitkan dalam bentuk siri dokumentari.

Judul bagi siri dokumentari terbabit belum dikongsikan tetapi ianya telah dijadualkan untuk disiarkan di saluran HBO serta distrim menerusi HBO Max pada tahun 2026.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat yang bekerjasama dengan HBO Sports Documentaries dan Park Stories untuk penghasilan siri tersebut. Penghasilan siri dokumentari ini turut melibatkan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Pasukan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Dimaklumkan, siri dokumentari ini akan mengikuti skuad AS selama empat tahun dan ini bermakna pembabitan mereka di kejohanan Piala Emas CONCACAF 2025 akan turut dirakamkan dan dimuatkan dalam siri dokumentari tersebut.

Penghasilan siri dokumentari ini pastinya membuatkan para penyokong dan peminatnya bertambah teruja lebih-lebih lagi Piala Dunia 2026 kelak akan dilangsungkan di tanah air mereka sendiri bersama-sama Kanada dan Mexico selain buat julung kalinya melibatkan penyertaan 48 pasukan.

Featured Image: US Soccer

Komen