
Kapten Selangor FC merangkap pemain skuad kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin merasakan para pemain Gergasi Merah amat menyukai ketua jurulatihnya, Nidzam Jamil.
Bahkan, secara peribadi, pertahanan versatil berusia 33 tahun terbabit turut memberikan penghormatan yang tinggi buat Nidzam – jurulatih tempatan yang mengisi kerusi panas di kelab.
Sudah pasti penghormatan itu diberikan Safuwan selepas Nidzam berhasil memimpin Selangor FC ke perlawanan akhir Piala FA serta menduduki tangga kedua Liga Super dan mengungguli Kumpulan H bagi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
“Saya mempunyai penghormatan yang besar buat Coach Nidzam, secara peribadinya, dia telah melakukan kerjanya dengan sangat baik selepas Coach Tan (Cheng Hoe) pergi, ini merupakan sesuatu yang semua pemain perlu memberikannya sokongan penuh,” katanya ketika ditemui pada acara pengenalan dirinya selaku Duta Skechers Malaysia di Football Republic Pavilion Elite, pada Selasa.

Bagaimanapun, menelusuri platform-platform media sosial, gesaan oleh para penyokong agar memecat Nidzam semakin kuat dilontarkan lebih-lebih lagi selepas tewas 0-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad lalu.
Selain daripada tewas di tangan juara bertahan terbabit, gesaan itu dilaungkan berikutan Selangor FC keciciran mata ketika bertemu pasukan seperti PDRM FC dan Sri Pahang FC di tempat lawan.
Hal seperti itu telah membuatkan kedudukan Selangor FC di tangga kedua liga terancam berikutan Sabah FC yang berada di tangga ketiga liga semakin merapatkan jurang – perbezaan tiga mata sahaja.
“Seperti yang kamu lihat, ini sukar buatnya, saya tahu para peminat telah bercakap beberapa perkara mengenai dirinya tetapi saya menghormatinya kerana untuk mempunyai seorang jurulatih tempatan menjalankan tugas di Selangor FC bukan mudah,” tambahnya lagi.
Safuwan turut menegaskan, walau apa pun terjadi dirinya dan rakan sepasukannya akah terus memberikan sokongan kepada Nidzam sehingga ke penghujungnya.