
Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo terlepas peluang untuk menjulang trofi kejohanan utama yang pertamanya bersama Al Nassr sejak menyertai kelab tersebut pada Januari 2023.
Peluang tersebut berkecai apabila Al Nassr tewas 0-1 di tangan Al Taawoun pada pusingan 16 sekaligus tersingkir daripada pertandingan bola sepak kalah mati, Piala Raja Saudi, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Bahkan kekalahan tersebut boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahu Ronaldo sendiri berikutan gagal menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Al Nassr pada masa kecederaan iaitu 90+6’.
Terdahulu, Al Taawoun berjaya mendahului menerusi tandukan oleh pertahanan, Walled Al-Ahmed kira-kira 20 minit sebelum masa permainan sebenar tamat.
Bercakap mengenai sepakan penalti, Ronaldo telah berjaya menyempurnakan kesemua 18 sepakan penalti yang diambilnya sejak menyertai Al Nassr.
Namun sepakan penalti kali ke-19 yang diambilnya ketika menentang Al Taawoun tidak menerjah ke dalam gawang sebaliknya melepasi palang sebelum menuju ke arah penonton yang merupakan kanak-kanak.
Selain daripada terlucut peluang untuk memburu trofi kejohanan utamanya bersama Al Nassr, kekalahan pada awal tadi juga merupakan yang pertama dialami oleh pengendalinya, Stefano Pioli sejak menggantikan Luis Castro pada September.
Ketika ini, Ronaldo masih berpeluang untuk merebut dua lagi trofi kejohanan utama bersama Al Nassr iaitu kejuaraan Liga Pro Saudi (SPL) dan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).
Bagaimanapun, bagi saingan SPL, Al Nassr kini di tangga ketiga selepas lapan perlawanan – ketinggalan enam mata berbanding pendahulu, Al Hilal.
Featured Image: Al Nassr Saudi Club