
Badan berkanun di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) muncul sebagai penaja rasmi Liga Malaysia.
Perkembangan itu hadir selepas PSM yang menguruskan dan menyelenggara Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) serta lain-lain fasiliti di bawah KBS tampil menjadi penaja bersama – Gold (Tier 2).
Hasil daripada penajaan tersebut, PSM diangkat selaku rakan Stadium Rasmi Liga Malaysia dan akan menyediakan venue, difahamkan SNBJ, melibatkan ketiga-tiga pertandingan di bawah seliaan Malaysian Football League (MFL) iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia 2024-25.
Satu simbolik penyerahan penajaan berlangsung pada hari ini dengan MFL diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Giorgio Pompili Rossi dan PSM pula oleh CEO, Iliyas Jamil.
Sebelum ini, PSM telah mengambil inisiatif dengan menjadikan SNBJ sebagai rumah rasmi bagi skuad kebangsaan Harimau Malaya sejak tahun 2019 – bagi menjadikan skuad bola sepak negara terus cemerlang.

Featured Image: Malaysian Football League