
Individu yang membimbing Selangor FC mara ke perlawanan akhir Piala FA 2024-25 iaitu Nidzam Jamil tidak lagi berperanan sebagai ketua jurulatih bagi kelab tersebut.
Ini berikutan jurulatih berusia 44 tahun berkenaan telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta-merta pada hari ini, demikian makluman oleh pihak kelab.
“Beliau telah memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor FC dan pihak kelab menghormati keputusan beliau,” tulis kenyataan yang dikongsikan menerusi semua platform media social kelab berjulukan Gergasi Merah tersebut.
Perletakan jawatan Nidzam ini hadir empat hari selepas Selangor FC tumpas 0-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ini juga bermakna Nidzam hanya berkhidmat sekitar tujuh bulan sahaja selepas diumumkan dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih pada pertengahan Mac lalu.
Selain mengemudi Selangor FC ke pentas perlawanan akhir, Nidzam turut meletakkan skuad Gergasi Merah di tangga kedua Liga Super dan mendahului Kumpulan H bagi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Susulan perletakan jawatan ini, tugas ketua jurulatih itu akan digalas secara “interim” oleh Abdi Hassan sementara pihak pengurusan mencari ketua jurulatih yang baharu.
Pertemuan Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu bagi saingan Liga Super akan menjadi tugasan pertama Abdi Hassan selaku ketua jurulatih interim.

Featured Image: Selangor FC