Ranking BWF: Aidil Loncat 33 Anak Tangga Selepas Muncul Naib Juara Indonesia Masters II
November 5, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh merekodkan peningkatan besar dalam Ranking Dunia BWF selepas muncul naib juara di kejohanan Indonesia Masters II, baru-baru ini.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pemain berusia 24 tahun berkenaan merekodkan peningkatan sebanyak 33 anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-91 dunia pada minggu ini.

Peningkatan itu disumbangkan oleh pertambahan sebanyak 4,680 mata yang dipungutnya susulan tewas secara “straight set” di tangan pemain tuan rumah, Alwi Farhan dengan skor 10-21 dan 9-21.

Berbeza pula nasib menimpa seorang lagi perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei yang turut menyertai kejohanan yang sama.

Pemain berusia 27 tahun itu merekodkan penurunan dua anak tangga susulan tewas di tangan pemain Indonesia, Prahdiska Bagas Shujiwo secara “straight set” 12-21 dan 11-21 pada pusingan 32.

Sementara itu, tiada sebarang perubahan melibatkan dua pemain perseorangan lelaki utama negara iaitu Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao dimana kedua-duanya kekal di tangga ketujuh dan ke-30 masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen