Sebanyak tujuh acara bukan sukan yang turut melibatkan konsert-konsert dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi tahun ini sehingga Oktober 2024.
Penganjuran tersebut telah memberikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) – agensi yang bertanggungjawab menguruskan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) termasuk SNBJ – kutipan hasil sebanyak RM1.89 juta.
Antara konsert yang dianjurkan di stadium berkapasiti 85,000 tempat duduk tersebut melibatkan persembahan oleh penyanyi seperti Ed Sheeran (24 Februari), AR Rahman (27 Julai), Bruno Mars (17 September) dan Jay Chou (26 Oktober).
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh semasa menjawab persoalan yang diajukan Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga bagi Parlimen Ke-15, pada hari ini.
Sementara itu, kutipan hasil daripada penganjuran acara sukan iaitu perlawanan bola sepak di SNBJ pula memberikan hasil sebanyak RM1.20 juta.
Sepanjang tahun ini, SNBJ telah menjadi venue bagi kejohanan Pesta Bola Merdeka 2024 yang menemukan Malaysia vs Lubnan, Malaysia vs Filipina, Lubnan vs Tajikistan dan Filipina vs Tajikistan.
Tidak dilupakan, pertembungan Malaysia vs Chinese Taipei dan Malaysia vs Oman pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 serta perlawanan akhir Piala FA 2024-25 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Secara keseluruhannya, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut memaklumkan bahawa PSM telah mengutip RM10.647 juta daripada sewaan venue di KLSC – termasuk Axiata Arena dan Stadium Hoki Nasional – sepanjang tahun ini sehingga Oktober 2024 hasil daripada penganjuran 80 acara sukan dan acara bukan sukan.
Featured Image: FAM