Pasukan berpangkalan di kepulauan borneo iaitu Sabah FC akan terus menggunakan khidmat Datuk Ong Kim Swee selaku ketua jurulatih sehingga penghujung April tahun hadapan.
Perkembangan itu hadir selepas mesyuarat khas melibatkan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) serta Sabah FC, semalam, sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan kontrak jurulatih berusia 53 tahun berkenaan.
Untuk makluman semua, kontrak Kim Swee yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan sepatutnya berakhir pada 30hb November ini.
Bagaimanapun, lanjutan kontrak tersebut diberikan kepada Kim Swee supaya Sabah FC dapat mengekalkan momentum kemenangan dan meningkatkan prestasi pasukan termasuk berhadapan dengan saingan Piala Malaysia kelak.
“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Ong Kim Swee akan dapat memperbaiki kedudukan di carta liga sekaligus lebih bersemangat menghadapi kempen Piala Malaysia pada tahun ini.” kata Presiden SAFA, Datuk Shahelmey Yahya.
Pada masa yang sama, pihak pengurusan juga berharap agar lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bagi memberikan sokongan untuk menambah semangat dan keyakinan kepada para pemain.
“Ini akan membantu moraliti pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi,” tambah Shahelmey lagi.
Sebagai rekod, Kim Swee mula melatih Sabah FC bermula 1hb Oktober 2021 selepas meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sejak dari itu Kim Swee telah membimbing Sabah FC menghuni tempat ketiga Liga Super dua kali berturut-turut pada musim 2022 dan 2022 – terbaik dalam sejarah – serta mara ke peringkat kalah mati Piala AFC 2023.