Kerja-Kerja Perobohan Stadium Shah Alam Capai Tahap 45%
November 6, 2024 Hafizuddin Omar

Projek pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu dilihat berjalan mengikut jadualnya dengan fasa awal pembinaan yang melibatkan kerja-kerja perobohan sudah mencapai tahap 45%.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pihak KSSA menerusi satu kenyataan media yang disiarkan kepada orang ramai pada Selasa.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik oleh para pengguna di media sosial menyaksikan bumbung, tempat duduk, sebahagian teres serta padang Stadium Shah Alam telah pun dirobohkan.

@styflystudio STADIUM SHAH ALAM NOV UPDATES #styflymalaysia #malaysia #cityvibes #fyp #foryoupage #asean #stadium #stadiumshahalam #selangor #mbi ♬ Blood and Bone – Paul Velchev

“Tidak lama lagi, asas untuk kemudahan moden kami akan mula terbina.”

“Stadium baharu ini bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu bagi peminat bola sepak tempatan, tetapi juga menyediakan ruang yang meriah untuk acara sepanjang tahun bagi komuniti setempat.” tulis kenyataan terbabit.

Sementara itu, memahami kerja-kerja pembinaan boleh mengganggu penduduk sekitarnya, KSSA memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan kontraktor bagi memastikan bunyi bising dan debu pada kadar terkawal.

Sebagai rekod, kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam terbabit bermula 1hb Julai lalu.

Ianya dimulakan bagi membuka jalan untuk membina Kompleks Sukan Shah Alam yang baharu merangkumi taman rekreasi, trek riadah, arena tertutup termasuk sebuah Stadium Shah Alam yang baharu dengan kapasiti sekitar 40,000 tempat duduk dengan bumbung lutsinar.

Pembinaan kompleks dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Fasa 1, 2 dan 3 dimana ianya dijadualkan siap pada akhir 2026, 2028 dan 2029 masing-masing.

Komen