Selangor FC Tebus Kontrak Nooa Laine, Bayar Pampasan Kepada SJK Seinäjoki
Hafiz Omar

Pemain tengah berdarah campuran Finland-Malaysia, Nooa Laine yang dipinjam oleh Selangor FC kini menjadi milik mutlak skuad berjulukan Gergasi Merah tersebut.
Perkembangan tersebut hadir susulan Selangor FC yang sedang menghuni tangga kedua Liga Super pada saat ini mengaktifkan klausa pembelian yang terkandung dalam kontrak Nooa bersama SJK Seinäjoki.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Pengarah Teknikal SJK Seinäjoki, Richard Dorman menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.
Berikutan pengaktifan klausa tersebut, SJK Seinäjoki akan menerima pampasan hasil bayaran yuran perpindahan oleh Selangor FC namun tidak dinyatakan jumlahnya.
Untuk makluman semua, Nooa mempunyai kontrak bersama SJK Seinäjoki sehingga tahun 2025 dengan pilihan lanjutan selama satu tahun.
Sebagai rekod, Nooa diumumkan menyertai Selangor FC secara pinjaman sekitar awal Februari lalu dan menjadi tonggak dengan merekodkan 20 penampilan dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Featured Image: SJK Seinäjoki