SAFA Tegaskan Sabah FC Tidak Dijual, Tidak Pernah Bertemu DSAT Group
November 7, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di kepulauan borneo iaitu Sabah FC kekal menjadi milik Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Presiden SAFA, YB Datuk Shahelmey Yahya menegaskan SAFA tidak pernah berunding mahupun bertemu dengan mana-mana pihak yang mendakwa menerima tawaran untuk mengambil alih atau menjual saham Sabah FC. 

“Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan pendirian SAFA dan Sabah FC bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan dakwaan tersebut.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini, SAFA tidak pernah bertemu individu atau dengan mana-mana wakil bagi pihak yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan yang dikongsikan pada hari ini.

Beliau memberikan penegasan tersebut sebagai respon terhadap kenyataan yang ditulis oleh Dato’ Seri Azizul Tandek menerusi akaun Facebook peribadinya memaklumkan syarikatnya, DSAT Group ditawarkan untuk mengambil alih Sabah FC bimbingan Datuk Ong Kim Swee. 

Selain itu, Azizul juga mengatakan tawaran buat DSAT Group untuk mengambil alih Sabah FC itu juga telah disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Pada masa yang sama, DSAT juga sedang menunggu respon daripada Kedah Darul Aman FC setelah menghantar surat menyatakan minat untuk mengambil alih 100% pegangan saham bagi skuad berjulukan Sang Kenari.

Komen