Lembaga Al Ain Football Club mengambil tindakan drastik dengan memecat ketua jurulatihnya iaitu Hernan Crespo selepas tewas besar 1-5 di tangan Al Nassr yang dibintangi oleh Cristiano Ronaldo dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) pada awal pagi Rabu.
Pemecatan Crespo serta staf kejurulatihannya itu diumumkan oleh Al Ain menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada awal pagi tadi.
Lembaga kelab sempat merakamkan penghargaan atas usaha dan sumbangan yang diberikan oleh Crespo dan barisan kejurulatihannya kepada Al Ain sejak diberikan tanggungjawab itu bermula pertengahan November tahun lalu.
Bagaimanapun, keputusan terkini Al Ain tidak mencapai jangkaan yang dimahukan sekaligus membuatkan mereka menamatkan kontrak penjaring keempat terbanyak sepanjang zaman Argentina tersebut.
Sungguhpun berjaya memimpin Al Ain menjuarai Liga Juara-Juara AFC pada musim lalu dengan menumpaskan Yokohama F. Marinos, saingan musim ini menyaksikan Al Ain gagal mencatatkan sebarang kemenangan setakat ini dan terperosok di tangga tercorot liga bagi rantau barat.
Sementara itu, dalam saingan Liga Pro UAE pula, Al Ain berada di tangga kelapan daripada 14 pasukan yang bertanding.