Kejayaan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merangkul kejuaraan sulung dalam siri Jelajah Dunia BWF bagi tahun ini berhasil mencetuskan peningkatan tiga anak tangga dalam Ranking Jelajah Dunia.
Peningkatan tersebut hasil muncul juara di kejohanan Korea Masters 2024 bertaraf Super 300 pada Ahad lalu yang memberikan 7,000 mata selain ganjaran wang tunai berjumlah AS$15,750 atau bersamaan kira-kira RM69,717.00.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik sebanyak dua kali itu muncul juara dengan menumpaskan beregu Korea, Kim Won Ho-Jin Yong menerusi tiga set permainan 21-23, 21-19 dan 21-14 dalam perlawanan akhir pada Ahad lalu.
Ketika ini, Aaron-Wooi Yik menghuni tangga kesepuluh dengan mengumpul 63,090 mata selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskininya pada Selasa.
Untuk makluman, bagi melayakkan diri untuk menyertai saingan Jelajah Dunia Akhir 2024 yang akan berlangsung di Hangzhou sekitar pertengahan Disember kelak, Aaron-Wooi Yik perlu menempatkan dirinya dalam kelompok lapan terbaik mengikut Ranking Jelajah Dunia.
Bukan itu sahaja, Aaron-Wooi Yik juga perlu memintas kedudukan beregu juniornya, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun – yang menghuni ranking ketujuh, memiliki 67,840 mata – untuk beraksi di kejohanan yang menawarkan ganjaran sebanyak AS$2.5 juta secara keseluruhan tersebut.
Untuk merealisasikannya, Aaron-Wooi Yik perlu mara ke peringkat separuh akhir Kumamoto Masters 2024 yang berlangsung pada minggu ini serta China Masters 2024 pada minggu hadapan.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia