Pasukan yang menghuni tangga kesepuluh Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil melakukan rombakan terhadap pentadbirannya – sehari selepas memutuskan tidak meneruskan perbincangan dengan Mahsuri Medical Centre (MMC) mengenai penjualan sahamnya.
Rombakan itu diumumkan sendiri oleh pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar sejajar dengan keperluan menangani cara kerja baharu dan cabaran semasa yang dihadapi.
Antara rombakan dilakukan adalah mengumumkan pelantikan anaknya, Izzatie Mohd. Daud sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kedah Darul Aman FC.
Selepas itu, Dr. Mohd Daud yang terkenal selaku tokoh kewangan islam itu bertindak memindahkan portfolio media, pemasaran, penjualan barang-barang, penjualan dan pengurusan tiket perlawanan dan inisiatif penajaan kepada Sang Kenari Sdn. Bhd.
Ditubuhkan penghujung Jun lalu, Sang Kenari Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan daripada Jabatan Pembangunan Perniagaan KDA FC – bertujuan untuk menguruskan pembangunan perniagaan melalui projek-projek perekonomian kelab.
Syarikat tersebut dikemudi oleh bekas Ketua Jabatan Program dan Acara Pemasaran Aafiyat Holdings, Mohammad Faidhi Mohd Rohdzi – orang yang sama diumumkan pelantikannya pada pertengahan Julai lalu.
Sementara itu, Nor Amirul Deen pula diperkenalkan sebagai pegawai media baharu bagi mengendalikan utusan media KDA FC di bawah entiti Sang Kenari Sdn. Bhd.
Jelas Dr. Mohd Daud, perpindahan ini dilakukan supaya pihak KDA FC dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran dan pengurusan enam buah pasukan bola sepak dalam aspek teknikal, dokumentasi, persiapan dan prestasi yang menuntut ketelitian, fokus dan libat urus yang lebih berbentuk sepenuh masa, kekeluargaan dan tadbir urus yang lebih ketara di bawah seliaan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Shahrul Samsudin.
Difahamkan, rombakan yang melibatkan lantikan baharu dan perpindahan portfolio yang diumumkan ini berkuat kuasa serta merta pada Selasa (12hb November).
Pada masa yang sama, Dr. Mohd Daud sempat mendedahkan pihak pengurusan akan memaklumkan tentang pelantikan dua orang Ahli Lembaga Pengarah (ALP) baharu dalam masa terdekat.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC