Kumamoto Masters: Tang Jie-Ee Wei Kandas, Soon Huat-Shevon Mara
November 13, 2024 Hafizuddin Omar

Nasib yang berbeza menimpa dua beregu campuran terbaik negara iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai pada pusingan 32 di Kumamoto Masters 2024.

Gandingan Tang Jie-Ee Wei yang kembali beraksi buat pertama kali selepas pulih daripada kemalangan dalam gimnasium terpaksa akur tumpas di tangan beregu Thailand yang menghuni ranking ke-201, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Tang Jie-Ee Wei tewas pertembungan tersebut secara “straight set” menerusi skor 15-21 dan 12-21 dalam tempoh 32 minit.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking kesepuluh dunia pula berhasil mencatatkan kemenangan sekaligus melakar kemaraan ke pusingan 16 bagi salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 500 ini.

Kemenangan itu dilakar ke atas beregu Jepun, Yuta Watanabe dan Maya Taguchi menerusi skor 18-21, 21-12 dan 21-14 dalam tempoh 54 minit permainan.

Pada pusingan berikutnya, Soon Huat-Shevon yang diletakkan selaku pilihan ketiga akan berhadap beregu China, Zhou Zhi Hong dan Yang Jia Yi untuk merebut tiket ke suku akhir.

Berdasarkan rekod, dua-duanya belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan setakat ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen