Penang FC Lantik Wan Rohaimi Sebagai Ketua Jurulatih Ganti Akmal Rizal
November 14, 2024 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai individu baharu yang akan mengemudi Penang FC untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2024-25 terjawab apabila skuad berpangkalan di Pulau Mutiara melantik Wan Rohaimi Wan Ismail selaku ketua jurulatihnya yang baharu.

Perlantikan itu diumumkan secara rasmi oleh Penang FC menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini sekaligus menyaksikan jurulatih berusia 48 tahun itu meninggalkan jawatannya selaku Penolong Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Bercakap mengenai Wan Rohaimi, sebelum daripada itu, beliau juga pernah memegang jawatan ketua jurulatih PDRM FC serta membimbing skuad Penang B-21, Perlis B-19, skuad pembangunan NFDP dan Tumpat FA.

View this post on Instagram

A post shared by Penang FC (@officialpenangfc)

“Coach Wan Rohaimi terkenal dengan pendekatan permainan berasaskan penguasaan bola dan transisi serangan yang pantas. Dengan formasi pilihan 4-3-3 dan 4-2-3-1, beliau menekankan kepada permainan yang agresif dan tersusun yang mengutamakan kepantasan serta kawalan bola yang baik.” tulis kenyataan oleh pihak kelab.

Untuk makluman, kedatangan Wan Rohaimi adalah untuk menggantikan ketua jurulatih sebelum ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang ditukarkan ke pasukan lain di bawah Penang FC.

Difahamkan, Akmal Rizal ditukarkan bagi membuka jalan untuk melantik jurulatih yang lebih berpengalaman dalam Liga Super bagi meningkatkan prestasi Penang FC.

Ketika ini, Penang FC berada di tangga kesebelas dengan kutipan 11 mata hasil daripada meraih dua kemenangan dan lima keputusan seri.

Wan Rohaimi akan mengendalikan perlawanan pertama Penang FC menenentang Kuching City FC di laman sendiri, Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam saingan Piala Malaysia 2024-25 pada 21hb November.

Featured Image: MFL

Komen