Kumamoto Masters: Zii Jia, Jun Hao Melangkah Ke Suku Akhir
November 14, 2024 Hafizuddin Omar

Kedua-dua perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Kumamoto Masters 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 500.

Zii Jia yang merupakan perseorangan No.1 negara merakamkan kemaraan tersebut selepas berhasil menundukkan pemain Chinese Taipei, Su Li Yang menerusi skor 19-21, 21-8 dan 21-16 dalam tempoh sekitar satu jam permainan.

Sementara itu, Jun Hao, 25 tahun, turut sama melakar kemenangan dengan menewaskan pemain yang menduduki ranking ke-11 dunia iaitu Koki Watanabe dengan keputusan 21-10, 16-21 dan 21-13 dalam masa 69 minit. 

Di peringkat suku akhir kelak, Zii Jia akan menantikan cabaran samada daripada pemain Denmark, Rasmus Gemke atau pemain Indonesia yang diletakkan selaku pilihan keempat, Jonatan Christie.

Manakala Jun Hao pula akan berhadapan pemain Jepun yang diletekkan sebagai pilihan kedua, Kodai Naraoka.

Sebagai rekod, kemaraan pada hari ini menjadikan Zii Jia menyamai prestasinya pada bulan lalu – mara ke peringkat suku akhir – di Terbuka Artik 2024.

Bagi Jun Hao, kemaraan ke peringkat suku akhir ini merupakan yang pertama dilakarnya selepas mara ke peringkat yang sama di Terbuka Indonesia 2024 – sekitar lima bulan lalu.

Featured Image: BAM

Komen