15 Perkara Dibangkitkan Dalam Sesi ‘Post Mortem’ Sukan Olimpik & Paralimpik 2024
Hafiz Omar

Sebanyak 15 perkara meliputi masalah, isu-isu berbangkit serta cadangan penambahbaikan telah dibangkitkan dalam sesi “post mortem” Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), pada Khamis.
Sesi yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN itu melibatkan sembilan jenis sukan untuk Sukan Olimpik serta lapan jenis sukan bagi Paralimpik 2024.
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memaklumkan 15 perkara yang dibangkitkan itu adalah seperti berikut:
- Penyediaan perkhidmatan sains sukan kepada atlet & sukan
- Keperluan pasukan ISN yang khusus kepada sukan
- Penggunaan teknologi
- Persiapan mental
- Persiapan serta penyelarasan melibatkan atlet professional
- Pengurusan kecederaan
- Keperluan dan peranan jurulatih
- Peruntukan
- Keperluan program pembangunan yang lebih berstruktur
- Analisa prestasi atlet yang lebih terperinci
- Gaya hidup atlet di peringkat sukan prestasi tinggi
- Kumpulan atlet pelapis untuk menggantikan atlet yang sudah berumur
- Kekurangan atlet wanita
- Keperluan pegawai komunikasi yang pakar dengan atlet masalah pembelajaran (intellectual disability)
- Keperluan peralatan khusus untuk atlet para

Pada masa yang sama, Hannah menyatakan kekurangan pakar psikologi menjadi dapatan yang paling penting daripada sesi “post mortem” ini.
Dimaklumkan, pada ketika ini, Institut Sukan Negara (ISN) hanya memiliki tujuh orang pakar psikologi dan ianya tidak mencukupi buat atlet-atlet negara.
“Kita akan mencari lebih (pakar psikologi), dan kira akan cari dana untuk pastikan (pakar psikologi) mencukupi bagi membantu atlet-atlet kita,” katanya dalam sidang media selepas sesi berkenaan.
Untuk makluman, seisi ini dihadiri oleh wakil KBS, Kementerian Kewangan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Ahli Lembaga Pengurus MSN, Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Persatuan Sukan Kebangsaan, jurulatih, pegawai-pegawai MSN dan ISN.
Selain itu, pihak KBS dan MSN juga telah menjemput panel pakar daripada beberapa institusi seperti Prof. Dr. Masamitsu Ito (NSSU), Prof. Dr. Shigeki Sarodo (NSSU), Aaron Thomas Edward Alsop (ICCE), Profesor Dr. Nur Ikhwan Mohamad (UPSI), Dr. Eliza Hafiz (UM) dan Norismadi Abdul Manap (Presiden SAM).
Manakala wakil persatuan dan jurulatih pula dijemput untuk membentangkan laporan sukan masing-masing dan memaklumkan persiapan pasukan serta prestasi yang dicapai di Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 yang lalu.
“Semua wakil yang hadir bersetuju agar perkara-perkara yang telah dibangkitkan dapat diambil tindakan susulan serta diselesaikan oleh semua pemegang taruh yang terlibat dalam pelaksanaan program latihan ke arah Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028,” tambah Hannah lagi.
Sukan Olimpik lalu menyaksikan Kontinjen Malaysia membawa pulang dua pingat gangsa menerusi beregu badminton lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia.
Untuk Paralimpik pula, kontinjen negara pulang dengan dua butir pingat emas, dua pingat perak serta satu pingat gangsa.
Featured Image: Majlis Sukan Negara