Kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan diwajibkan untuk melantik penolong ketua jurulatih yang memiliki Lesen Diploma Pro AFC – antara lesen kejurulatihan bola sepak tertinggi bagi karier jurulatih.
Penambahan syarat tersebut dicadangkan oleh Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) dan ianya dikongsikan oleh presidennya sendiri, Datuk Ong Kim Swee kepada pihak media.
Jelas Kim Swee, cadangan itu dilontarkan bagi membantu ahli-ahlinya terutamanya yang memiliki Lesen Diploma Pro AFC menabur khidmat dan mencurahkan bakti dalam kancah tertinggi bola sepak tanah air.
“Pada tahun hadapan, MFL akan mengubah syarat Ketua Jurulatih dan Penolong Ketua Jurulatih harus mempunyai Lesen Diploma Pro AFC,”
“Itu dalam perancangan dan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal FAM, telah dibincangkan, (telah dicadangkan) dalam mesyuarat lepas,”
“Jika (perkara) itu berlaku, (ianya) baik untuk jurulatih yang mempunyai lesen Diploma Pro AFC tetapi pada masa yang sama tak semestinya mereka (kelab-kelab) akan ambil (jurulatih) tempatan,”
“Mereka masih boleh ambil jurulatih luar negara,” katanya dalam sidang media Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa anjuran PJBM di Hotel Armada, Petaling Jaya pada hari ini.
Sebagai rekod, seramai 62 daripada 1,094 orang ahlinya memiliki Lesen Diploma Pro AFC pada ketika ini.
Namun begitu, beberapa individu sahaja yang berpeluang melatih kelab-kelab Liga Super pada musim ini seperti Nafuzi Zain (Kedah Darul Aman FC), P. Maniam (PDRM FC), K. Nanthakumar (Negeri Sembilan FC), Yusri Che Lah (Perak FC) dan Wan Rohaimi Wan Ismail (Penang FC) selain Ong Kim Swee (Sabah FC).
Untuk makluman, penganjur, Malaysian Football League (MFL) telah mewajibkan kelab-kelab Liga Super untuk melantik ketua jurulatih yang mempunyai Lesen Diploma Pro AFC atau setaraf dengannya bermula musim 2021 dan menjadi sebahagian daripada syarat untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan.