Sukan baharu yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping-pong yang kian popular mutakhir ini dijangka semakin berkembang pesat di negeri Selangor bermula tahun hadapan.
Ini susulan kerajaan Negeri Selangor pimpinan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi mengembangkan sukan tersebut di negerinya.
Pengumuman peruntukan tersebut diumumkan ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 yang bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Masyarakat Madani dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3 bilion, pada hari ini.
Mengulas dengan lebih lanjut mengenai pengembangan sukan terbabit, Amirudin memaklumkan pentadbirannya akan menganjurkan Pesta Pickleball Selangor yang merangkumi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Pickleball Selangor, pertandingan di sekolah serta di daerah.
Ini bertujuan untuk meningkatkan minat dalam kalangan orang muda serta melahirkan bakat-bakat baharu yang terpendam.
Tidak terhenti setakat ini, Amirudin turut memaklumkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mula menambah gelanggang pickleball di taman-taman awam dengan menukar gelanggang badminton yang terletak di ruang terbuka dengan sukan badminton akan difokuskan di dewan tertutup.
Selain itu, Selangor juga berhasrat untuk menjadi negeri pertama yang menganjurkan sukan pickleball di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan mereka hoskan pada tahun 2026 kelak.