Tiga pemain iaitu Matt Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman tidak akan menyertai skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya terbang ke Hyderabad bagi menentang India dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Isnin hadapan.
Ianya berikutan ketiga-tiga pemain tersebut dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan oleh majikannya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan yang disiarkan pada hari ini menjelaskan ketiga-tiga pemain tersebut dipanggil pulang berikutan perlawanan pertama Pusingan 16, saingan Piala Malaysia bertemu kelab semi-pro, Kuala Lumpur Rovers FC yang berlangsung pada 20hb November.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu.” tulis kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Syihan Hazmi akan turut serta bersama 22 pemain lain skuad Harimau Malaya terbang ke Hyderabad untuk menentang India.
Ketika bertemu Laos pada Khamis lalu di Bangkok, Matt Davies dan Arif serta Syihan diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih, Pau Marti manakala Feroz berada di bangku simpanan.
Featured Image: FAM