Bekas pemain dan bekas ketua jurulatih ternama dalam arena bola sepak tempatan, Datuk Dollah Salleh tampil menceburi bidang perniagaan apabila tampil melancarkan kopi segera dengan jenamanya tersendiri, Pablo Dollah Kopi.
Pelancaran rasmi jenama kopi segeranya itu dilangsungkan di Summit Hotel Subang USJ yang turut dihadiri rakan-rakan kerjasamanya seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Universiti Teknologi MARA (UiTM) termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Antara pilihan minuman yang ditawarkan oleh Pablo Dollah Kopi adalah kopi hitam, kopi hitam 2 dalam 1, kopi putih 3 dalam 1, kopi putih tongkat ali dan teh tarik.
Kesemua pilihan minuman yang dinyatakan itu akan dipasarkan di seluruh negara menerusi koperasi-koperasi, kedai-kedai runcit dan platform jual beli atas talian.
Dollah yang merupakan penggempur berbisa ketika era 1980-an dan 1990-an menjelaskan pemilihan kopi untuk diniagakan berikutan menjadi pilihan pelbagai lapisan masyarakat selain nasihat daripada rakan niaganya.
Sementara itu, Dollah turut menjelaskan penglibatannya dalam perniagaan ini belum menoktahkan kariernya bola sepaknya sebaliknya merupakan satu cabaran baharu yang ingin ditempuhinya.